
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku tangkap kulit kerang ditepi pantai Port Dickson.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku kena marah lepas kena langgar dengan lori apek jual sayur.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku cium dahi ibu buat terakhir kali.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku sampai garisan penamat lari pecut. Ibu aku menanti dengan air sirap sejuk.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat pagi raya bila ibu cuba muatkan songkok baru yang ketat.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku pergi beli baju cap Kiko dipasaraya Jusco.
Saat ini bila aku ingat ibu aku, aku ingat ini.
Saat aku ingat tentang ibu pada setiap malam sebelum mahu masuk tidur.
Saat ini, tidak banyak yang dapat aku ingat.
Saat aku bersama dengan ibu aku, tidak lama seperti sesetengah dari kamu semua.
Saat aku dan ibu hanya bergerak selama 9 tahun.
Saat selepas 9 tahun itu hanya bergerak dengan kuasa memori, imaginasi dan juga doa-doa.
Sekian,
ABUL – saat itu boleh lama, saat itu boleh sekejap. hargai saat itu. lagi-lagi dengan ibu.

Kadang-kadang aku kurang mengerti perasaan mempunyai seorang emak. Hari demi hari perasaan aku terhadap sayang emak aku semakin hilang. Aku tidak pasti mengapa.Tapi perasaan rindu tetap ada untuk berjumpa lagi. Tapi tidak lagi seperti dahulu. Aku rindu lambaian dari jauh emak bila aku balik dan pergi kesekolah. Aku mahu dimarahi, aku rindu dimarahi walaupun jutaan kali, atas nama kasih sayang. Deria rasa aku tidak lagi seperti dulu, aku mengidam masakan emak. Terutama, daging kunyit kegemaran.
Kadang-kadang aku kurang mengerti kenapa boleh sesetengah insan bosan bersama emak, benci pada emak, aku tidak mengerti. Sungguh aku tidak dapat terima pakai insan bergini dalam hidup aku. Tidakkah mereka tahu betapa berharganya kasih emak.
Kadang-kadang aku-aku-aku ingin emak ada didalam mimpi lena aku bersama-sama watak mimpi maya yang lain. Aku sering menatap album lama jika aku rindu, tapi kadang kala bila aku melihat, tiada perasaan atau buah fikiran yang dapat aku luahkan. Hanya sunyi. Aku takut, apakah yang terjadi.
Kadang-kadang aku bersendirian, cuba mendendang lagu emak, namun tidak boleh aku lengkapkan. Terdiam separuh jalan dan mata mula berkabur dibasahi air mata. Aku ingin merasai perasaan seperti waktu kecil. Walaubagaimanapun, orang yang hilang tidak akan kembali. Ingin aku gadaikan semua hanya untuk berjumpa, tetapi hanya mustahil memisahkan aku dan emak.
Kadang-kadang..
Kadang-kadang…
Terdiam.
ABUL – Kadang 97

Engkau ibu, sungguh tiada siapa yang dapat menggantimu,
Sungguh aku inginkan tempat berteduh darimu,
Tetapi sayang, engkau ibu sudah pergi terlebih dahulu,
Kadang aku cuba bayangkan jika engkau ada disini untuk hari-hari aku,
Tapi hanya gelap dan bisu yang menyelubungi permikiran aku,
Dan Ingin aku pejamkan mata, dan kirakan satu hingga lima,
Dengan harap agar engkau ada didepan mata bila aku buka.
Tapi tiada guna.
Oh ibu, walau wajah engkau kini aku sudah mula ingat-ingat lupa,
Tapi yang pasti, aku tidak akan lupa mendoakan agar engkau tenang disana,
Dan yang aku pasti, sayang aku dan rindu aku kekal abadi untukmu,
Ibu percayalah..
ABUL – Kuat hati,
tabah ya budak kecil. abul ni….:)
salah satu kebahagiaan ibumu ketika di dunia ialah saat dia melahirkan dikau…
jadi jgn sia-siakan kelahiran dikau hanya kerana dia sudah tiada utk memarahi mu…
dia tiada tp dia juga akan tetap ada…
kerna ibu wujudnya kamu dan kerna kamu la akan tetap wujudnya ibu…
ibu pasti bangga dgn kamu…:)